Imam Mahdi adalah satu nama yang cukup gah di kalangan umat Islam seluruh dunia, sejak
dahulu hinggalah hari kiamat. Imam Mahdi atau sebutan Melayunya, Imam Mahadi, sudah
mendarah daging di kalangan umat Islam. Semua umat Islam yang mencintai kebenaran, sudah pasti
ternanti-nanti bilakah akan munculnya Imam yang sebenar itu, tangan yang cukup kuat untuk
melakukan tangkisan ghaib untuk semua umat Islam terhadap segala perkara, dari yang sekecilkecilnya
hinggalah kepada yang sebesar-besarnya, sehingga hidup mereka menjadi sangat aman,
makmur, bahagia, penuh berkat dan mencapai kemuncak keemasan bagi segala zaman keemasan.
Sebenarnya, kitab-kitab karangan para ulama sejak dari zaman dahulu hinggalah ke saat yang
terkini, yang ditulis sama ada secara khusus atau secara umum, yang menyentuh mengenai Imam
Mahdi adalah terlalu banyak, jauh lebih banyak daripada hadis-hadis yang ada, yang menyebut tentang
diri Imam Mahdi itu sendiri.
Begitu juga buku-buku ilmiah, kertas-kertas kerja, tesis-tesis dan sebagainya yang ada
kaitannya dengan Imam Mahdi itu, sama ada yang ditulis oleh orang yang memang ahli ilmu atau oleh
orang biasa, sudah terlalu banyak hingga tidak dapat lagi disenaraikan, kerana sudah terlalu
banyaknya. Di samping itu, kebanyakannya sudah diterbitkan, manakala sebahagian besar lagi masih
dalam bentuk mentah - belum diterbitkan oleh mana-mana pihak.
Tujuan mereka menulis kitab, buku, kertas kerja, tesis, analisis, dan sebagainya itu juga ada
bermacam-macam. Ada yang tujuannya semata-mata untuk memberi ilmu kepada semua umat Islam
sepanjang zaman, ada yang tujuannya untuk mendapatkan wang - mencari untung semata-mata, ada
yang menulis kerana ingin mendapatkan segulung ijazah, ada yang bertujuan mencari nama, ada yang
menulis untuk menambahkan bilangan kitab-kitab karangannya, ada yang menulis kerana minat
terhadap bidang penulisan, ada yang menulis kerana mahu mempertahankan kesahihan hadis-hadis
Imam Mahdi daripada dituduh secara semberono sebagai amat dhaif malah mauduk, walaupun
sebenarnya tidak demikian, ada yang menulis kerana mahu mempertahankan kebenaran munculnya
Imam Mahdi dan bermacam-macam niat lagi.
Ada yang menulis mengenai Imam Mahdi itu dari satu aspek saja, ada yang menulis dari dua
tiga aspek, dan ramai yang menulis dalam banyak aspek. Banyak karangan tersebut yang berbentuk
cerita, untuk memberi lebih kefahaman kepada orang ramai terutamanya kanak-kanak dan orang yang
baru belajar mengenali Imam Mahdi itu. Bentuk ini dapat membebaskan mereka daripada ikatan
hadis-hadis yang banyak itu dan memberikan lebih ruang kepada mereka untuk menyalurkan
pendapat dan pandangan sendiri. Ada karangan yang berbentuk huraian hadis, ada yang berbentuk
penilaian hadis-hadis sama ada boleh dipercayai atau tidak, ada yang berbentuk kritikan sama ada
terhadap rawi mahupun terhadap isi kandungan hadis itu sendiri, ada yang berbentuk penjelasan
terhadap permasalahan semasa Imam Mahdi yang selalu ditimbulkan, ada yang berbentuk ringkasan
cerita dan banyak pula yang berbentuk selari iaitu hadis-hadis dimasukkan tanpa sebarang ulasan atau
komen.
Ada yang begitu rajin memberikan sumber rujukannya sekali, berserta ulasan sama ada hadis
itu sahih, hasan atau dhaif. Kebanyakan hadis yang diberi disertakan sekali sanad-sanadnya untuk
lebih meyakinkan dirinya dan para pembaca. Yang mengkaji Imam Mahdi dari mazhab lain juga amat
ramai, terutama di sebelah Timur Tengah dan Utara Afrika sana. Selain ditulis, banyak pula yang
dibincangkan secara hangat di pentas pelbagai jenis forum, seminar, simposium, kolokium, ceramah,
penerangan dan bermacam-macam nama lagi. Namun hasilnya, umat Islam di seluruh dunia masih
tetap berpecah seperti sebelumnya juga, tidak berkurang.
Yang menulisnya itu, ada yang imam mujtahid, ada yang imam mujaddid, ada yang ulama
besar yang fakih, ada ulama besar yang fiqh, ada yang ulama kecil, ada yang ahli tasawuf, ada yang ahli
sejarah, ada yang ahli hadis terkemuka, ada yang merupakan sarjana, ada yang merupakan ahli
akademik, ada yang ahli kemasyarakatan, ada yang merupakan peramal masa hadapan, ada yang orang
kafir dari kalangan Yahudi dan Nasrani dan ada yang orang biasa, ada yang dari kalangan orientalis
Barat, malah ada yang menulis semata-mata kerana cukup berminat dengan peribadi Imam Mahdi
yang dijanjikan itu.
Penulis sendiri, pada peringkat awalnya tidak berhasrat untuk menulis mengenai Imam
Mahdi ini dengan dua alasan utama. Pertama, kerana sudah terlalu banyak buku dan kitab di pasaran
yang menceritakan secara lengkap mengenai Imam Mahdi. Terdapat bermacam-macam bentuk
penulisan dan gaya mereka untuk menarik minat orang ramai agar membeli buku keluaran mereka.
Tajuk-tajuk yang diberikan juga amat menarik dan penuh psikologi. Membaca buku-buku dan kitab
karangan mereka sudah cukup memuaskan hati dan menambahkan ilmu.
Kedua, kerana penulis sendiri bukanlah orang yang terlalu ahli dalam bidang ini. Penulis
sendiri ketika itu masih belajar dan mencari hadis-hadis yang berkaitan dengan Imam Mahdi itu.
Kerana itu, penulis tidak bercadang untuk menulis dan menambahkan lagi kemeriahan buku-buku
mengenai Imam Mahdi ini. Cukuplah dengan apa yang sudahpun ada di kalangan umat Islam.